PKR bincang dengan Umno sebelum terima bekas ahli, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Presiden PKR Anwar Ibrahim akan berbincang dengan Umno terlebih dahulu sebelum menerima bekas ahli parti itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 6 Februari, 2023.

PKR akan berbincang dengan Umno sebelum memutuskan untuk menerima bekas ahli mereka ke dalam parti itu, kata Anwar Ibrahim hari ini.

Walaupun ada yang menyatakan minat untuk menyertai PKR, Anwar yang juga presiden parti berkata belum ada sebarang keputusan dibuat.

“Kami belum membuat sebarang keputusan lagi.

“Kami ambil maklum beberapa bekas ahli Umno menyatakan hasrat untuk menyertai parti (PKR). Kami akan berbincang dengan pemimpin Umno,” kata Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, pada sidang media di ibu pejabat parti di Petaling Jaya.

Awal minggu lalu, bekas ahli majlis tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin, yang dipecat daripada parti Melayu itu pada November tahun lalu, berkata beliau mahu memohon menyertai PKR dan mendakwa beberapa ahli dari bahagian Padang Besar parti itu juga berminat untuk bekerjasama.

Zahidi juga mendakwa “beberapa lagi” pemimpin Umno juga bersedia untuk menyertai PKR.

Pengarah komunikasi PKR Lee Chean Chung kemudian berkata parti itu tidak menerima sebarang permohonan daripada bekas atau pemimpin Umno.

Beliau bagaimanapun berkata sekiranya terdapat sebarang permohonan daripada pemimpin Umno, maka ia akan dinilai mengikut kes demi kes.

Semalam, dilaporkan Zahidi sedang mempertimbangkan untuk menyertai Amanah, selepas menerima beberapa maklum balas negatif terhadap komen awalnya yang mahu menyertai PKR.

Beliau berkata akar umbi di Padang Besar mencadangkan beliau menyertai Amanah untuk mendapat peluang yang lebih baik dalam membantu pengundi terutama dalam sektor pertanian. – 6 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen