MALAYSIA akan menghantar pasukan mencari dan menyelamat khas Malaysia (Smart) bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali berkata, 75 anggota Smart akan digerakkan ke Turkiye malam ini menerusi penerbangan Turkish Airlines dengan membawa bersama peralatan yang akan digunakan di dalam operasi berkenaan.
“Proses penghantaran pasukan Smart dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) dan menerima pengesahan keperluan bantuan daripada kerajaan Turkiye,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan Smart menerima pengiktirafan kumpulan penasihat mencari dan menyelamat antarabangsa (Insarag) pada tahun 2016 yang membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.
Pada Isnin, gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye, Kahramanmaras dan pihak berkuasa pengurusan bencana dan kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada jam 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.
Setakat ini Kementerian Luar (Wisma Putra) melaporkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam gempa bumi berkenaan. – Bernama, 6 Februari, 2023.
Komen