INDIA dan Pakistan menzahirkan kesedihan atas kehilangan nyawa dalam gempa bumi kuat di Turkiye pada Isnin.
Menurut pihak berkuasa pengurusan bencana dan kecemasan (AFAD) Turkiye, gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter itu melanda pada jam 4.17 pagi (waktu tempatan) dan berpusat di tenggara negara berhampiran sempadan Syria.
Ia menjejaskan kebanyakan kawasan di Turkiye dan Syria, dengan jumlah kematian awal di kedua-dua negara itu melebihi 350.
“Dalam tempoh kesedihan ini, saya dan negara Pakistan bersolidariti dengan rakyat Turkiye dan Syria,” kata Presiden Pakistan Arif Alvi.
“Sangat sedih menerima perkhabaran gempa bumi besar yang melanda wilayah tenggara Turkiye. Saya menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada saudara saya Presiden Recep Tayyip Erdogan dan rakyat Turkiye di atas kehilangan nyawa yang berharga dan kerosakan infrastruktur,” kata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.
Sementara itu, Perdana Menteri India Narendra Modi menerusi ciapan di Twitter berkata, beliau sedih dengan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat gempa bumi itu.
“Takziah kepada keluarga mangsa. Semoga yang cedera segera pulih,” kata Modi.
Beliau berkata India bersedia untuk menawarkan bantuan kepada Turkiye bagi menghadapi tragedi itu. – Bernama, 6 Februari, 2023.
Komen