Lebih 100 terbunuh gempa bumi di Turkiye dan Syria


Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda selatan Turkiye dan utara Syria awal pagi ini menyebabkan lebih 100 terkorban dan meranapkan bangunan. – Gambar Facebook, 6 Februari, 2023.

GEMPA bumi berukuran 7.8 magnitud melanda selatan Turkiye dan utara Syria awal pagi ini waktu tempatan, membunuh lebih 100 orang dan meranapkan bangunan dengan gegarannya dirasakan sehingga ke Cyprus, Lubnan dan Mesir.

Kejadian berlaku lebih kurang 4 pagi waktu tempatan.

Agensi pengurusan bencana di Turkiye berkata 76 disahkan meninggal dunia namun percaya angka itu lebih tinggi kerana gempa bumi awal pagi itu meranapkan banyak bangunan kediaman ketika kebanyakan penduduk sedang tidur.

Pihak berkuasa di Syria pula mengesahkan sekurang-kurangnya 50 terbunuh.

Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 17.9km diikuti gegaran susulan 6.7 magnitud selang 15 selepas gegaran besar pertama.

Gempa bumi ini disifatkan antara yang paling teruk melanda wilayah itu dalam masa 100 tahun.

Lebih 1,000 sukarelawan dikerahkan dari Istanbul ke kawasan bencana, kata gabenornya Ali Yerlikaya.

Sementara itu pihak pengurusan bencana Turkiye turut merayu bantuan antarabangsa untuk kerja mencari dan menyelamat.

Kawasan terjejas termasuk wilayah yang menjadi tumpuan pelarian dari Syria yang dilanda perang. – Agensi, 6 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen