KKM sedang usaha atasi kesesakan di hospital, kata menteri


Ravin Palanisamy

Mengakui masalah kesesakan di jabatan kecemasan di hospital kerajaan, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata KKM sedang berusaha dengan melakukan perbincangan dalaman dan arahan terhadap kakitangan serta menyediakan lebih banyak katil. – Gambar Twitter, 6 Februari 2023.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang melakukan perbincangan dalaman dan arahan terhadap kakitangan dan menyediakan lebih banyak katil bagi mengatasi masalah kesesakan di jabatan kecemasan hospital kerajaan, kata menterinya Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian melalui lawatan kakitangan KKM kes sebuah jabatan kecemasan di sebuah hospital kuaternari minggu lalu, kesesakan dipercayai disebabkan kelewatan pesakit dimasukkan ke wad.

Menteri kesihatan itu bagaimanapun tidak mendedahkan nama hospital berkenaan.

“Setiap jabatan kecemasan mempunyai cabaran yang berbeza. Jabatan kecemasan khusus ini berbeza dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang yang saya lawati sebelum ini.

“Kakitangan barisan hadapan di sini bergelut kerana pesakit yang sepatutnya dimasukkan ke hospital terperangkap di jabatan kecemasan. Kelewatan ini boleh memberi kesan domino yang buruk,” katanya di Twitter hari ini.

Mengakui masalah kesesakan yang dihadapi, Dr Zaliha berkata KKM sedang berusaha dengan melakukan perbincangan dalaman dan arahan terhadap kakitangan serta menyediakan lebih banyak katil.

“Usaha memperkasakan kepimpinan di peringkat lapangan juga perlu dilakukan,” tambah beliau.

Baru-baru ini kumpulan Hartal Doktor Kontrak memuat naik gambar memaparkan kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur.

Minggu lalu, media melaporkan Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Selangor terpaksa menutup jabatan kecemasannya daripada menerima kes tidak kritikal ekoran jumlah pesakit yang terlalu ramai.

Mengulas lanjut masalah kesesakan di jabatan kecemasan hospital kerajaan, Dr Zaliha berkata kebanyakan isu adalah isu yang diwarisi dan sistemik.

“Banyak isu yang diwarisi dan sistemik, tetapi ada yang boleh ditangani di peringkat tempatan dengan penglibatan yang mencukupi.

“Ramai petugas barisan hadapanbekerja di luar tugas semasa pandemik Covid-19 dan terus berbuat demikian ketika kita menghadapi tsunami penyakit tidak berjangkit selepas pandemik,” katanya.

KKM katanya akan terus berusaha untuk mengenal pasti penyelesaian secara dalaman dan menyokong petugas barisan hadapan menerusi perbincangan berterusan dengan Kementerian Kewangan. – 6 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen