Lapangan Terbang Subang akan jadi hab aeroangkasa, kata menteri


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata rancangan menukar LTSAAS menjadi lapangan terbang bandar dan hab aeroangkasa  akan dilaksanakan mengikut pelan penjanaan semula yang disediakan oleh Malaysia Airports berasaskan hala tuju dasar kerajaan. – Gambar Wikipedia, 6 Februari 2023.

PUTRAJAYA meluluskan rancangan untuk menukar Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Airport (LTSAAS) menjadi sebuah lapangan terbang bandar dan hab aeroangkasa. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata rancangan itu akan dilaksanakan mengikut pelan penjanaan semula yang disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (Malaysia Airports) berasaskan hala tuju dasar kerajaan.

“Pada 2 Februari, saya telah membentangkan pelan berkenaan kepada jemaah menteri dan cadangan pembangunan tersebut telah mendapat kelulusan selepas mengambil kira pertimbangan yang teliti. 

“Pembangunan LTSAAS akan memberi fokus terhadap pembangunan ekosistem aeroangkasa, penerbangan am dan bisnes dan lapangan terbang bandar dan tambahan,” katanya pada sidang media di Subang, hari ini.

Kata Loke, ekosistem yang akan dibangunkan melibatkan tujuh komponen iaitu pusat industri aeroangkasa, pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, pusat penyelidikan dan pembangunan, operasi penerbangan am, operasi penerbangan bisnes, mobiliti udara bandar dan operasi penerbangan komersial serantau.

“Pembangunan semula lapangan terbang ini adalah projek kebangkitan nasional yang ditunjangi oleh prinsip panduan Malaysia Madani.

“Dari segi ekonomi, ini akan mempercepatkan pemulihan ekonomi pasca-pandemik dengan menarik pelaburan menarik pelaburan dari dalam mahupun luar negara,” katanya.

Loke berkata pertumbuhan dan perubahan wajah LTSAAS turut dijangka menjana peluang pekerjaan baru selain mensasarkan kapasiti lapan juta penumpang setahun.

Beliau berkata, sasaran pasaran adalah kumpulan penumpang bisnes ataupun kelas premium dengan memanfaatkan kedudukan LTSAAS yang cukup strategik di tengah ibu kota.

“Penerbangan berjadual menggunakan pesawat propeller dan turboprop akan dikekalkan berikutan permintaan pasaran terhadap perkhidmatan itu dijangka berterusan serta positif,” katanya.

Ditanya mengenai kos dan tempoh SARP bakal dilaksanakan, katanya kerajaan memberi tempoh selama dua bulan kepada MAHB untuk menyiapkan perancangan penuh pelan itu termasuk kosnya sebelum ia dapat dibentangkan kepada Kabinet.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB Iskandar Mizal Mahmood berkata satu sesi libat urus akan diadakan bersama pihak berkaitan bagi meneliti dan memperincikan perancangan pembangunan LTSAAS. – 6 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen