Pakatan, BN bincang kerjasama di Terengganu tidak lama lagi, kata Raja Kamarul Bahrin


Diyana Ibrahim

Pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata PH dan Umno sedang mencari formula yang munasabah bagi menyelesaikan isu pembahagian kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari 2023.

PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Terengganu akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat untuk membincangkan secara rasmi kerjasama menghadapi pilihan raya negeri (PRN), kata Pengerusi PH Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Pertemuan itu akan membincangkan isu mengenai calon, pembahagian kerusi termasuk logo parti yang akan digunakan dalam PRN, katanya.

“Kita akan ada pertemuan rasmi melibatkan semua komponen parti politik antara PH dan BN  dalam seminggu dua ini.

“Kita masih menunggu tarikh untuk pertemuan ini,” katanya kepada media selepas program sambutan Tahun Baru Cina PH di Kampung Cina, Kuala Terengganu semalam.

Raja Kamarul Bahrin diminta mengulas perkembangan kerjasama dua gabungan itu untuk menghadapi PRN yang perlu diadakan sebelum September ini, susulan kerjasama politik yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU14 Umno yang mewakili BN kalah, hanya menang 10 daripada 32 kerusi sementara PH tidak menang satu kerusi pun, malah hilang wang deposit kecuali di kerusi Parlimen Kemaman dan empat DUN bawahnya.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul Bahrin yang juga pengerusi Amanah Terengganu berkata PH dan Umno sedang mencari formula yang munasabah bagi menyelesaikan isu pembahagian kerusi.

Katanya, matlamat itu dapat dicapai jika semua pihak lebih bertolak ansur, tidak terlalu mementingkan kehendak peribadi atau parti mana yang lebih layak mendapat kerusi lebih.

“Kita belum putus secara terperinci, kita nak dapat satu formula yang munasabah kerana tujuan kita bincang awal untuk lihat PH dan BN sebagai sebuah pasukan capai kejayaan secara keseluruhan.

“Kalau kita rasa ada parti yang patut dapat lebih kerusi dan kerusi yang tertentu kita perlu reda dan benarkan… bukan atas kehendak.

“Kita perlu letak ke tepi sentimen tiap parti dan individu kerana Terengganu medan yang agak sengit, jadi kena ada formula kukuh yang boleh buahkan kejayaan,” katanya.

Mandat Dewan Undangan Negeri Terengganu terbubar secara automatik pada 2 Julai. – 6 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen