Pejuang intai peluang kerjasama dengan Pakatan di pilihan raya negeri, kata sumber


Mohd Farhan Darwis

Pejuang kini menyandang masing-masing dua kerusi di Kedah dan Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2023.

PEJUANG sedang meneliti peluang untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) di Kedah dan Selangor yang perlu diadakan sebelum September ini, kata sumber dalaman parti.

Pejuang berhasrat melalui kerjasama itu untuk bertanding di beberapa kerusi sebagai rakan politik PH di dua negeri itu, jelas sumber.

“Idea ini bermula dua bulan lepas, kerjasama dimaksudkan macam PH plus Pejuang… nak kerusi dari Selangor dua, Kedah dua,” kata sumber yang bercakap kepada The Malaysian Insight dengan syarat dirahsiakan identitinya.

Pejuang kini menyandang masing-masing dua kerusi di Kedah dan Selangor.

Presidennya Mukhriz Mahathir kini mewakili kerusi negeri Jitra sementara setiausaha agung parti Amiruddin Hamzah wakil rakyat Anak Bukit.

Dua wakil rakyat Pejuang di Dewan Undangan Negeri Selangor ialah Mohd Shaid Rosli (Jeram) dan Harumaini Omar (Batang Kali).

Satu lagi sumber lain bagaimanapun memberitahu sukar untuk Pejuang mempertahankan empat kerusi itu pada pilihan raya negeri nanti selepas prestasi buruk pada pilihan raya negeri Johor dan kemudian pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Cara nak masuk (kerjasama) tak tahu macam mana, mungkin gabungan, Pejuang tidak sertai PH. 

“Tapi kita kena ingat, Umno ada… kalau PH dan Umno ada, Pejuang tidak ada peluang (pada PRN),” katanya.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir kini mewakili kerusi negeri Jitra sementara setiausaha agung parti Amiruddin Hamzah wakil rakyat Anak Bukit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2023.

Pada perhimpunan agungnya pertengahan Januari lalu, Pejuang mengambil keputusan untuk berundur daripada gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditubuhkan bersama beberapa parti kecil untuk PRU15.

Mukhriz pada waktu itu berkata langkah itu untuk membolehkan Pejuang memberi tumpuan kepada usaha mengukuhan parti sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.

Selepas kalah semua 126 kerusi ditandingi pada PRU15, beberapa pimpinan tertinggi Pejuang turut meletakkan jawatan dalam parti.

Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan pengerusi Pejuang pada Disember lalu namun kekal sebagai Pengerusi GTA.

Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya juga letak jawatan parti tetapi kekal sebagai ketua setiausaha GTA.

Pemimpin kanan lain yang mengumumkan peletakan jawatan mereka ialah bekas ketua pemudanya Dr Abu Hafiz Salleh Huddin dan ahli Majlis Eksekutif Pusat Abu Bakar Yahya.

Bekas calon Pejuang di kerusi Parlimen Titiwangsa Khairuddin Abu Hassan juga letak jawatan sebagai ketua Pejuang Wilayah Persekutuan.

Khairuddin berkata beliau hilang kepercayaan kepada Mukhriz untuk mengemudi parti apabila bekas menteri besar Kedah itu mencadangkan agar Pejuang menyertai PH.

Sementara itu Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar yang dihubungi The Malaysian Insight berkata hasrat Pejuang untuk bekerjasama dengan gabungan itu perlu dibawa kepada kepimpinan PH Pusat.

“Kami hanya ikut arahan nasional, Pejuang kena berhubung dengan PH Pusat (jika mahu bekerjasama).

“Kami di negeri hanya mengikut apa diputuskan oleh PH Pusat. 

“Setakat sekarang tidak ada sebarang perjanjian lain,” kata Naib Presiden Amanah itu. – 6 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen