Polis tahan 2 lelaki, rampas minuman keras RM200,000


POLIS menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak bercukai bernilai RM269,086 di kawasan Taman Chi Liung, Pandamaran, Klang, pada 31 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata tangkapan terhadap dua lelaki berusia 25 tahun itu dilaksanakan sekitar jam 5 petang apabila unit risikan marin Pelabuhan Klang menjalankan rondaan di kawasan itu.

“Semasa rondaan dijalankan, polis terserempak dengan sebuah lori dan ketika itu kedua-dua lelaki berkenaan sedang memunggah kotak untuk disimpan di sebuah gudang.

“Ketika tangkapan dilakukan, polis merampas 317 botol dan 7,560 tin pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai. Keseluruhan nilai harga barang rampasan RM269,086,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, Cha berkata bahagian siasatan jenayah, ibu pejabat polis daerah Klang Selatan membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan menahan reman kedua-dua lelaki berkenaan. – Bernama, 5 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen