SEKURANG-KURANGNYA 16 mangsa terkorban dan puluhan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan hampir 50 kenderaan di sebuah lebuh raya di tengah China, pada Sabtu.
Menurut polis trafik tempatan, kenderaan berkenaan terbabit dengan beberapa perlanggaran dalam tempoh kira-kira 10 minit di lebuh raya di wilayah Hunan, dengan beberapa kenderaan turut terbakar.
Rakaman dimuat naik semula dalam talian oleh People’s Daily menunjukkan api menjilat trak yang mempunyai logo syarikat penghantaran, kenderaan remuk dan terbalik, serta kepulan asap tebal susulan insiden itu.
Polis trafik memaklumkan, 16 orang maut dalam nahas itu, termasuk tujuh mangsa dalam satu perlanggaran, manakala 66 lagi mengalami kecederaan.
Mereka yang cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan, termasuk lapan mangsa dilaporkan parah tetapi stabil buat masa ini, katanya.
People’s Daily melaporkan kemalangan itu berlaku di ibu kota wilayah Hunan, Changsha dan lebih 180 anggota penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian.
Kementerian pengurusan kecemasan China hari ini memaklumkan, pihaknya sudah mengarahkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca insiden berkenaan. – AFP, 5 Februari, 2023.
Komen