Hati-hati dengan Perikatan dalam pilihan raya negeri, kata PKR


Noel Achariam

Lee Chean Chung mengakui kebanyakan golongan muda mengundi Perikatan Nasional pada PRU15 sekali gus mencetus "gelombang hijau". – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2023.

PKR tidak akan memandang rendah Perikatan Nasional (PN) ketika parti itu bersedia untuk memenangi pengundi muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata pengarah komunikasinya Lee Chean Chung.

Beliau berkata kunci untuk menarik minat belia adalah mendekatkan diri dengan mereka, sambil menambah golongan muda mesti dimaklumkan mengenai operasi PKR.

“Mereka (pengundi baharu) penting kerana mereka mengambil bahagian dalam proses politik ini dan mempengaruhi hala tuju negara.

“Pembabitan adalah kuncinya. Kami tidak akan hanya melemparkan propaganda kepada mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengadakan PRN tahun ini.

Mengenai “gelombang hijau” dalam pilihan raya umum lalu, yang memberikan kemenangan besar kepada parti Islam PAS di beberapa negeri, Lee mengakui kebanyakan golongan muda mengundi PN.

“Kami perlu memikirkan mengapa mereka (pemuda) tidak datang kepada kami dan kami tidak boleh menolak mereka lebih ke arah PN.

“Kami faham pengundi kali pertama adalah pengundi atas pagar. Mereka mencuba… dan bereksperimen dengan undi mereka.

“Kami memerlukan lebih banyak penampilan dalam media sosial untuk menunjukkan kepada mereka apa yang kami tawarkan; kemudian kami akan dapat menarik mereka.”

Lee berkata platform video pendek TikTok adalah penting untuk mendekatkan diri dengan belia.

“Media sosial sememangnya sangat penting. Kami cuba yang terbaik untuk mengikuti teknologi dan alatan terkini supaya calon kami dapat memanfaatkannya.”

Lee berkata pihaknya menyedari pengaruh PN terhadap pengundi baharu.

“Kami perlu mengambil serius perkara ini. Kami perlu berhati-hati dengan Undi18. Kami memberi perhatian khusus kepada perkara itu.”

Pengarah komunikasi PRK Lee Chean Chung berkata, Pakatan Harapan yakin dapat mengekalkan Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2023.

Bagaimanapun, beliau berkata Pakatan Harapan (PH) yakin dapat mengekalkan Selangor kerana gabungan itu sudah melakukan banyak kerja di negeri itu.

Beliau berkata PN menyasarkan kemenangan majoriti dua pertiga dalam PRN.

Lee berkata PN bercita-cita tinggi menyasarkan untuk mengambil alih Selangor kerana kebanyakan pengundi negeri itu mengundi PH pada PRU15.

“Bagaimanapun, kami tidak memandang rendah mereka.”

Selangor mempunyai 56 kerusi di DUN.

Pada 2018, PH memenangi majoriti besar 51 kerusi untuk memerintah kerajaan bagi penggal ketiga.

BN memenangi empat kerusi dan PAS satu.

Kerusi PH kemudian mengurang kepada 40, berikutan pembelotan besar-besaran pada 2020.

Mengenai strategi kempen parti, Lee berkata PKR perlu menangkis segera apabila ia difitnah oleh PN.

“Jika serangan mereka berdasarkan fakta maka kami perlu melihat semula dasar kami mengenai bagaimana kami boleh menang dan meningkat.

“Saya tidak nampak keperluan buat kami menentang propaganda dengan propaganda. Ia (kempen) sepatutnya membina.

“Saya harap PN akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif dan tidak hanya melemparkan tuduhan tidak berasas mengenai isu perkauman dan mewujudkan rasa tidak selamat.” – 6 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen