SATU mayat lelaki ditemukan terapung 500 meter dari Jeti Bagan Muara Esbee berdekatan Jambatan Sungai Buloh Sasaran di Jeram, Kuala Selangor, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Ramli Kasa berkata, ia susulan pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.05 pagi tadi memaklumkan penemuan mayat lelaki yang belum dikenal pasti identitinya.
“Pada jam 9.45 pagi, mayat itu diangkat oleh pihak bomba dan diserahkan kepada anggota polis Balai Polis Kuala Selangor untuk dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi bedah siasat.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ramli berkata dipercayai penemuan mayat itu mempunyai kaitan dengan Operasi Tapis yang dilaksanakan pihaknya pada jam 6.30 petang, Jumaat lalu di sebuah jeti berdekatan kawasan itu.
Katanya, ketika pihak polis cuba menghampiri jeti itu, sekumpulan lelaki yang belum dikenal pasti identiti melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai dan berenang ke seberang sungai.
“Namun segala maklumat lanjut mengenai identiti mangsa lemas itu akan diketahui selepas proses bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden sekumpulan lelaki terjun ke dalam sungai itu pada malam 3 Februari lalu.
Menurutnya, sepasukan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor serta Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) JBPM Selangor terbabit dalam operasi mencari mangsa. – Bernama, 5 Februari, 2023.
Komen