Pervez Musharraf meninggal dunia


Musharaf menderita penyakit amyloidosis iaitu penyakit ganjil yang menyebabkan organ tubuh gagal berfungsi. – Gambar EPA, 5 Februari, 2023.

BEKAS presiden Pakistan yang juga bekas ketua tenteranya Pervez Musharraf meninggal dunia hari ini Dubai selepas hidup melarikan diri di Emiriah Arab Bersatu, lapor media antarabangsa.

Umurnya 79 tahun.

Beliau meninggal dunia selepas sekian lama menderita amyloidosis, sejenis penyakit ganjil yang menyebabkan organ tubuh gagal berfungsi, lapor NDTV di India.

Setakat ini belum ada berita sama ada jenazahnya akan dibawa pulang untuk dikebumikan di Pakistan, biarpun ahli keluarganya sebelum ini berusaha untuk membolehkan beliau kembali ke republik Islam itu.

Musharraf menjadi presiden Pakistan selepas rampasan kuasa tentera pada 1999.

Beliau mengambil alih kuasa dengan mengetepikan perdana menteri Nawaz Shari ketika hubungan antara mereka tegang.

Musharraf sebelum itu menjadi dalang utama perang antara Pakistan dan India di Kargil di wilayah Jammu dan Kashmir, yang operasinya disembunyikan daripada pengetahuan Nawaz.

Musharraf meletakkan jawatan presiden pada 2008 ketika ada gerakan untuk mendakwanya atas salah laku.

Beliau selepas itu menubuhkan parti politik Liga Muslim Seluruh Pakistan pada 2010 tetapi gagal dalam dua pilihan raya umum berikutnya.

Selepas dituduh menderhaka pada 2014 beliau melarikan diri dan hidup dalam buangan di UAE.

Musharraf sebelum ini dikaitkan juga dengan tuduhan dalang pembunuhan bekas perdana menteri Benazir Bhutto dalam satu serangan semasa rapat umum menjelang pilihan raya pada hujung 2007. – 5 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen