EU sekat import minyak Rusia mula Ahad ini


Penduduk Ukraine membersihkan kesan serangan Rusia ke atas Kherson semalam (4 Februari 2023). – Gambar AFP, 5 Februari, 2023.

LARANGAN mengimport produk petroleum Rusia seperti diesel atau petrol ke Kesatuan Eropah (EU) dikuat kuasa pada Ahad.

Langkah itu bertujuan untuk mengehadkan pendapatan Rusia daripada membiayai operasi ketenteraannya ke atas Ukraine, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Menurut angka terbaharu dari agensi statistik EU Eurostat, Rusia mengeksport produk petroleum bernilai lebih €2.3 bilion (AS$2.5 bilion) ke EU pada Oktober.

Langkah itu diputuskan pada Jun sebagai sebahagian daripada pakej sekatan keenam EU ke atas Rusia susulan pencerobohannya ke atas Ukraine tetapi mungkin mengecualikan sekatan untuk beberapa negara EU buat sementara waktu.

Sebagai tambahan kepada sekatan itu, EU dan negara G7 iaitu Jepun, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat bersetuju untuk hanya membenarkan perkhidmatan yang memudahkan eksport kepada negara ketiga jika produk petroleum Rusia dijual di bawah paras harga tertentu. – Bernama, 5 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen