Nepotisme menghakis reformasi institusi


SEJAK kebelakangan ini, kerajaan Madani telah menerima kritikan terbuka akibat beberapa lantikan yang disifatkan sebagai amalan nepotisme.

Amalan nepotisme adalah amalan di mana sepupu, ahli keluarga atau orang yang mempunyai pertalian yang rapat dengan seorang pemimpin dilantik dalam jawatan kerajaan sewaktu memegang tampuk kuasa.

Nepotisme juga adalah salah satu cabang amalan korupsi.

Nepotisme sepatutnya tidak berlaku dalam kerajaan Madani hari ini kerana umum mengetahui bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah bertahun berjuang membantah amalan-amalan korupsi yang dipraktikkan oleh pihak berkuasa. 

Beliau juga dianggap sebagai idola oleh ramai rakyat Malaysia kerana membawa obor semangat reformasi institusi.

Oleh itu, disarankan supaya kerajaan hari ini memikirkan semula lantikan-lantikan tersebut kerana sewaktu penulisan ini ditulis persepsi rakyat majoritinya kecewa dengan apa yang berlaku.

Tambahan pula, perkara ini telah mendapat tumpuan negara luar dengan organisasi Transparency International turut mempersoalkan perkara ini.

Kerajaan hari ini didirikan bukan melalui jalan yang mudah tetapi melalui jalan yang susah di mana ramai orang di luar sana telah menaruh harapan dan memberi kepercayaan. Jangan kecewakan mereka. 

Jangan sampai reformasi institusi hanya sekadar retorik politik dan sehingga prinsipnya terhakis serta tergadai. – 5 Februari, 2023.

* Shah Fariq Aizal Sha Ghazni, ketua penerangan Muda Wilayah Persekutuan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen