100,000 rakyat Bangladesh protes kenaikan harga gas


Pemimpin dan aktivis BNP mengadakan protes kenaikan harga gas, komoditi harian serta pelanggaran hak asasi manusia, yang membabitkan kejadian kehilangan dan pembunuhan didakwa dilakukan kerajaan Bangladesh. – Gambar AFP, 5 Februari, 2023.

HAMPIR 100,000 pemimpin dan aktivis dari parti pembangkang utama Bangladesh pada Sabtu berhimpun di Dhaka bagi membantah kenaikan harga gas dan komoditi lain serta menuntut kerajaan sementara diwujudkan menjelang pilihan raya, lapor Agensi Anadolu.

“Tindakan ini adalah untuk memastikan rakyat dapat mengundi dan memulihkan demokrasi, menggulingkan kerajaan Liga Awami yang fasis.

“Setiap kali Liga Awami berkuasa, mereka merampas hak demokrasi rakyat dan cuba menjadikan negara ini sebagai negara satu parti seperti yang mereka lakukan pada 1975,” kata Setiausaha Agung Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) Mirza Fakhrul Islam Alamgir menerusi ucapannya ketika perhimpunan itu.

BNP melaungkan slogan menentang kenaikan harga gas, komoditi harian serta pelanggaran hak asasi manusia, yang membabitkan kejadian kehilangan dan pembunuhan.

Pemimpin parti juga mendakwa sejak beberapa bulan kebelakangan ini lebih sedozen pemimpin dan aktivis BNP, yang lantang menentang kenaikan harga komoditi harian maut manakala beberapa mangsa yang lain hilang tanpa dikesan.

Human Rights Watch pada Sabtu menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan baru-baru ini mengenai kehilangan dan penyeksaan secara paksa, termasuk oleh anggota cawangan detektif polis.

Sementara itu, Ganatantra Mancha, pakatan tujuh parti mengumumkan perarakan dan program kempen besar-besaran pada 11 Februari bagi menuntut peletakan jawatan kerajaan Liga Awami dan mengadakan pilihan raya di bawah kerajaan berkecuali. – Bernama, 5 Februari, 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen