SEBUAH kereta api kargo tergelincir di Amerika Syarikat, menyebabkan kebakaran besar dan arahan pemindahan dikeluarkan, kata pihak berkuasa dan laporan media pada Sabtu.
Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan selepas kereta api 50 gerabak tergelincir dari landasan pada lewat malam Jumaat di sempadan Ohio-Pennsylvania.
Kereta api itu dalam perjalanan dari Madison, Illinois ke Conway, Pennsylvania apabila tergelincir di East Palestine, Ohio.
Beberapa letupan kuat turut kedengaran dalam kebakaran itu, menurut media tempatan.
Suhu rendah turut menyukarkan kerja memadamkan kebakaran.
Pihak berkuasa berkata yang kereta api membawa bahan kimia mudah terbakar, lapor WFMJ-TV.
Anggota bomba terpaksa memakai suit hazmat untuk memadamkan kebakaran itu.
Hampir 2,000 penduduk-separuh daripada penduduk bandar- diarahkan pihak berkuasa untuk meninggalkan rumah mereka.
Arahan dikeluarkan pihak berkuasa meminta sesiapa yang tinggal dalam lingkungan 1.6 kilometer daripada kawasan kejadian untuk berpindah. Pihak berkuasa juga menguatkuasakan arahan penempatan di pusat pemindahan untuk semua penduduk bandar itu.
“Kami menekankan betapa pentingnya semua orang untuk tidak mendekati kawasan kejadian,” kata pengurus bandar East Palestine di Facebook. – AFP, 5 Februari, 2023.
Komen