5,000 rakyat Malaysia bekerja secara haram di Korea Selatan


Pengiklanan agresif di laman media sosial, seperti Facebook, membawa kepada peningkatan pekerja buruh haram di Korea Selatan sejak pertengahan tahun lepas. – Gambar fail EPA, 13 Mac, 2018.

KADAR upah yang rendah dan kekurangan pekerjaan di sini memaksa kira-kira 5,000 rakyat Malaysia bekerja dan hidup secara haram di Korea Selatan, lapor The Star hari ini.

Mencari peluang yang lebih baik dan terpikat dengan iklan yang menjanjikan upah lebih tinggi, rakyat Malaysia sanggup membayar ribuan ringgit untuk mendapatkan pekerjaan di sana.

Tetapi ramai yang terpaksa mencari afkah sendiri selepas menderita akibat kemalangan di tempat kerja dan dipecat.

Jumlah 5,000 itu adalah anggaran yang diperoleh daripada rakyat Malaysia dan agen pengambilan pekerja.

Terdapat kira-kira 251,000 pekerja asing secara haram di negara itu, lapor Korea Herald.

Mingguan Malaysia baru-baru ini melaporkan pengiklanan yang agresif di laman media sosial, seperti Facebook, membawa kepada peningkatan pekerja buruh haram sejak pertengahan tahun lepas.

Ejen yang tidak bertanggungjawab menggunakan taktik promosi, seperti video menunjukkan pendapatan yang besar, untuk menggoda rakyat Malaysia menerima pekerjaan haram ini.

Dua ejen utama dikatakan beroperasi di negara ini - sepasang adik beradik dan dua ahli sebuah keluarga - menyeludup masuk 20 rakyat Malaysia ke Korea Selatan setiap bulan.

Rakyat Malaysia, berumur antara 16 dan 50 tahun, membayar ejennya antara RM3,000 hingga RM4,000 untuk bekerja di kawasan Hanam-si, Suwon dan Mugeok di Seoul.

Pasukan The Star melawat Itaewon di rantau tengah, Daeso dan Muguk di daerah Eumseoung, kira-kira 80km dari Seoul untuk melihat sendiri rakyat Malaysia di sana.

Nasib rakyat Malaysia pertama kali diketengahkan dalam beberapa siri laporan khas yang berkaitan dengan The Herald Korea pada Januari.

Rakyat Malaysia kebanyakannya bekerja di ladang rumpai laut dan ubi keledek.

Pasukan The Star juga bercakap dengan beberapa rakyat Malaysia yang menjadi gelandangan selepas dipecat tanpa gaji.

Sebahagian daripada mereka juga terpaksa mencari tempat perlindungan di Pusat Masjid Seoul.

Ramai juga mengadu mengenai tinggal di kawasan sempit dan kerana status haram mereka, terpaksa bekerja berjam-jam lamanya dan tanpa berehat. – 13 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen