Tindakan Bersatu umum akaun parti mainan politik, kata pemerhati


Desmond Davidson

Bersatu mendedahkan pada 31 Januari lalu mereka menerbitkan penyata akaun bagi tahun 2020 dan 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2023.

TINDAKAN Bersatu mengumumkan mengenai penyata akaun partinya awal minggu ini tidak lebih daripada satu lagi mainan politik, kata penganalisis.

Mereka berkata, akaun itu tidak selari dengan wang yang dibelanjakan oleh gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka mengulas mengenai pendedahan Marzuki Mohamad, bekas setiausaha sulit presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, pada 31 Januari lalu bahawa parti itu menerbitkan penyata akaunnya bagi tahun 2020 dan 2021.

Marzuki berkata, mereka yang menuduh Bersatu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi harus melihat penyata akaun yang sudah diaudit.

“Ia tidak boleh tipu punya,” katanya dan menambah ia telah difailkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis mengesahkan mereka membekukan akaun Bersatu bagi membolehkan badan pemantau antirasuah itu melihat aliran wang dan RM300 juta yang dikatakan diterima parti.

Ahli akademik Universiti Tasmania, James Chin menyifatkan pendedahan itu sebagai “cerita yang menyusahkan (yang) membuang masa setiap orang”.

SPRM membekukan akaun Bersatu pada Khamis untuk melihat aliran wang dan RM300 juta yang dikatakan diterima parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2023.

“Semua orang tahu akaun yang diterbitkan itu tidak benar.”

Chin berkata akaun itu, yang didakwa Marzuki sudah diaudit, hanya melaporkan wang yang dikeluarkan dengan resit dan tidak mungkin menimbulkan kontroversi, seperti membayar gaji kakitangan, sewa, bil utiliti atau majlis parti.

“Mereka tidak melaporkan wang kelabu, wang yang dibelanjakan dalam pilihan raya.”

Chin berkata tiada parti di Malaysia, dalam hal itu, pernah melaporkan wang kelabu mereka dalam pilihan raya yang boleh mencapai “beberapa ratus juta ringgit”.

Beliau berkata, angka dalam akaun terbitan Bersatu adalah “angka yang diragui”.

“Ia dilakukan untuk memenuhi undang-undang dan keperluan undang-undang. Tiada kaitan dengan realiti.

“Setiap orang tahu di Malaysia anda tidak boleh mengawal wang politik. Anda hanya boleh mengawal selia pada tahap tertentu tetapi wang besar yang bergerak semasa pilihan raya, ia tidak pernah dilaporkan.” – 5 Februari, 2023. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen