LPP, Fama perlu selesai segera kekurangan sayur, kata menteri


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu meminta LPP dan Fama menyelesaikan masalah kekurangan sayur di pasaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2023.

LEMBAGA Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) diarah mengambil langkah intervensi segera bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan sayur di pasaran ketika ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata bagi jangka panjang, kementerian itu akan mewujudkan sistem data raya bagi mendapatkan maklumat dalam masa sebenar mengenai situasi bekalan sayur-sayuran di negara ini.

Katanya, sistem itu bagi memantau jenis sayuran yang sedang ditanam, jumlah pengeluaran, lokasi pengeluaran, jumlah import dan eksport, jumlah permintaan dan kos pengeluaran.

“Melalui sistem ini kementerian dapat membuat unjuran dan persiapan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya bukanlah mahir dalam bidang IT (teknologi maklumat) tetapi jika saya boleh melihat ‘dashboard’ sistem itu melalui telefon pintar sahaja, bila-bila masa kita boleh membuat persiapan awal,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Beliau yakin ramai anak muda yang berkebolehan mampu menghasilkan sistem itu dan kementeriannya bersedia memberi dana yang sewajarnya bagi membangunkannya. – Bernama, 4 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen