Harimau Sumatra serang penduduk ditangkap di Indonesia 


Harimau Sumatera dianggap spesies yang sangat terancam dengan hanya kurang daripada 400 yang hidup liar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2023.

SEEKOR harimau sumatera yang dipercayai menyerang dan mencederakan petani di wilayah paling barat Aceh di Indonesia berjaya ditangkap pada hari Sabtu selepas memburu selama beberapa hari.

Ia berlaku selepas dua serangan harimau berasingan di bandar sama di Sumatera sejak seminggu lalu menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang cedera parah.

Haiwan itu memasuki perangkap yang dipasang oleh agensi pemuliharaan di dalam hutan simpan awal Sabtu di bandar Kluet Tengah di selatan Aceh.

Ia didapati mempunyai beberapa luka di badannya.

“Salah seorang mangsa berkata dia mencederakan haiwan itu ketika diserang dan cuba mempertahankan diri. Terdapat beberapa luka di badan harimau itu termasuk di muka, leher dan kakinya,” kata ketua agensi pemuliharaan Aceh Agus Rianto, kepada AFP.

Gambar yang diambil oleh polis menunjukkan haiwan itu terbaring di dalam sangkar dengan kesan luka di mukanya.

Pemburuan besar-besaran untuk harimau itu dilancarkan minggu lalu selepas empat penduduk tempatan diserang di dalam kawasan simpanan di Kluet Tengah, menyebabkan salah seorang daripada mereka dalam keadaan kritikal.

Askar, pegawai pemuliharaan dan bomba semuanya dikerahkan untuk memburu haiwan berkenaan.

Beberapa hari kemudian, dua petani yang bekerja secara haram di dalam hutan yang sama turut diserang dan mengalami cedera parah.

Pihak berkuasa bagaimanapun masih belum dapat memastikan sama ada serangan itu dilakukan oleh harimau yang sama.

Harimau Sumatera dianggap sangat terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi dengan hanya kurang daripada 400 yang hidup liar.– AFP, 4 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen