Warga Thailand antara 233 individu ditahan bersama 10kg ganja


POLIS Kelantan menahan 233 individu termasuk dua wanita sepanjang tiga hari Operasi Tapis Bersepadu di sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas, bermula Rabu hingga semalam.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, semua suspek berusia antara 16 hingga 65 tahun yang ditahan itu, terbabit dalam pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Beliau berkata, sepanjang tiga hari operasi, polis turut membuat dua tangkapan membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes pertama tangkapan dua lelaki warga tempatan berumur 18 tahun di tepi jalan hadapan Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi bersama 4,000 biji dadah jenis pil yaba.

“Polis turut menangkap seorang lelaki warga Thailand berumur 16 tahun di tepi jalan Pengkalan Che Kassim dan merampas 10.3 kilogram dadah jenis ganja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, sepanjang tiga hari operasi, pelbagai dadah dianggarkan bernilai lebih RM216,000 yang boleh digunakan seramai 29,301 berjaya dirampas.

“Polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Kelantan,” katanya. – Bernama, 4 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen