Doktor rugi lebih RM90,000 gara-gara cinta maya


GARA-GARA dilamun cinta maya, seorang doktor wanita terpaksa berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM94,000 akibat terjerat dalam Love Scam dengan seorang lelaki yang baru dikenalinya tidak sampai dua minggu menerusi aplikasi Facebook.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita berusia 31 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan suspek yang mendakwa bekerja di luar negara menerusi aplikasi itu sebelum hubungan berterusan melalui aplikasi WhatsApp yang menggunakan nombor telefon antarabangsa.

“Selepas dua minggu berkenalan, mangsa yang tidak pernah menemui suspek diminta untuk melakukan transaksi dalam talian untuk urusan pembelian barang melalui laman sesawang (https://federalcreditwestunionbank.com).

“Mangsa yang ketika itu berada di rumah menekan pautan laman sesawang itu dan mengisi maklumat yang diberikan suspek iaitu data pengenalan dan kata laluan serta melakukan beberapa transaksi pembelian barang menggunakan akaun peribadinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan transaksi itu, akaun mangsa dibekukan tanpa diketahui punca dan dia kemudian diminta untuk membuat pembayaran deposit bagi membolehkan akaun itu diaktifkan semula.

Bimbang dengan keadaan itu, wanita berkenaan mengikut arahan yang diberikan oleh laman sesawang itu dan melakukan pembayaran deposit beberapa kali ke dalam satu akaun tempatan berjumlah RM23,701.

“Bagaimanapun dia kemudian dimaklumkan jumlah berkenaan tidak mencukupi dan perlu menambah jumlah wang selain diarahkan untuk menggunakan Huobi App bagi tujuan penukaran mata wang Ringgit Malaysia kepada US Dollar,” katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa yang masih tidak sedar dia menjadi mangsa penipuan memasukkan wang ke empat lagi akaun bank berbeza melalui aplikasi itu.

“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila teman lelaki mayanya itu meminta untuk memasukkan wang kepada rakan suspek, namun wanita itu tidak berbuat demikian sebelum bertindak melaporkan hal itu kepada polis,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam setiap perkenalan dalam talian dan tidak terpedaya dengan janji manis sahabat dalam alam maya. – Bernama, 4 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen