Belanjawan 2023 diharap fokus sektor PKS, kata Ka Siong 


Presiden MCA Dr Wee Ka Siong berkata pihaknya berharap kerajaan dapat melihat untuk membantu golongan berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2023.

BELANJAWAN 2023 yang disemak semula diharap akan memberikan keutamaan kepada golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus membantu usahawan sektor tersebut memulihkan ekonomi masing-masing.

Presiden MCA Dr Wee Ka Siong berkata ini kerana, pasaran kerja tempatan disumbang melalui sektor PKS yang meliputi 65%, namun masih terdapat perniagaan yang belum mampu pulih sepenuhnya, akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata pihaknya berharap kerajaan dapat melihat untuk membantu golongan berkenaan, yang selaras dengan usaha untuk memulihkan ekonomi negara selepas pandemik.

“Sektor perniagaan termasuk PKS turut menghadapi cabaran dari segi dasar baharu dan Akta Pekerjaan yang baharu, serta berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja dan bantuan juga satu keutamaan yang perlu dilakukan secepat mungkin, demi kelangsungan hidup PKS.

“Pihak MCA sendiri telah menyediakan satu memorandum untuk diberikan kepada kerajaan minggu hadapan dan ia termasuk beberapa cadangan daripada PKS sendiri kepada kami, untuk menjadikan sektor berkait PKS lebih rancak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Ahli Parlimen Tanjung Piai Dr Wee Jeck Seng di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Pekan Nanas, di Pontian.

Jelas Wee, beliau percaya majoriti pemilik perniagaan menantikan bagaimana kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan membantu mereka, selain turut mengalu-alukan sebarang bantuan yang diberikan oleh kerajaan.

Selain itu Wee berkata memorandum itu juga menyentuh tentang meningkatkan pendapatan dan kebajikan rakyat.

“Terdapat banyak perkara yang kita harap akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam sidang Parlimen akan datang pada 13 Feb depan, Saya juga berharap kerajaan dapat melihat ke arah menangani masalah kekurangan telur di negara ini, memandangkan kita sudah menghampiri bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Terdahulu, pada 24 Januari, Dr Wee dilaporkan berkata memorandum mengenai Belanjawan 2023 yang disemak semula akan diserahkan kepada perdana menteri, meliputi isu-isu seperti ekonomi, PKS dan pendidikan.

Belanjawan 2023 yang disemak semula dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari. – Bernama, 4 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen