Pengarah filem Jafar Panahi dilepaskan dari tahanan


Jafar Panahi adalah antara pengarah filem Iran yang dihormati dan diperakukan oleh masyarakat filem dunia. – Gambar AFP, 4 Februari, 2023.

PENGARAH filem Iran Jafar Panahi semalam dibebaskan dari penjara di Tehran selepas beliau melancarkan mogok lapar, lapor agensi berita antarabangsa.

Pembebasan beliau disahkan oleh peguamnya Yusef Moulai kepada agensi Associated Press.

Isteri Panahi, Tahereh Saidi turut memuat naik gambar suaminya dalam kenderaan sebaik bebas

Panahi adalah antara pengarah filem Iran yang dihormati dan diperakukan oleh masyarakat filem dunia.

Beberapa filemnya menang anugerah utama festival antarabangsa, antaranya White Ballon di Cannes pada 1995, The Circle di Festival Filem Venice pada 2000, dan Taxi Tehran di Berlin pada 2015.

Mahkamah agung Iran pada Oktober lepas membatalkan hukuman penjara enam tahun yang dikenakan ke atasnya pada 2010 atas kesalahan “propaganda terhadap sistem”.

Panahi bagaimanapun ditahan pada Julai tahun lalu selepas mempertikaikan tindakan polis menahan seorang lagi pengarah filem ketika penguasa Iran cuba menahan bantahan rakyat. 

Pekerja filem adalah antara ribuan rakyat Iran yang ditahan dalam operasi pihak berkuasa membendung protes yang tercetus susulan kematian seorang wanita yang ditahan kerana tidak memakai tudung.

Antaranya termasuk pelakon Taraneh Alidoosti yang ditahan hampir tiga minggu sebelum dibebaskan pada awal Januari. – Agensi, 4 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen