Ayah bunuh anak sendiri cetus kemarahan di Iraq


Tiba al-Ali dibunuh ayahnya dalam kes terbaru pembunuhan maruah di Iraq. – Gambar Twitter, 4 Februari, 2023.

KEMATIAN seorang bintang YouTube ditangan ayahnya mencetuskan kemarahan di Iraq, di mana “pembunuhan maruah” terus berlaku di negara konservatif itu.

Tiba al-Ali, 22, dibunuh ayahnya sendiri pada 31 Januari lepas di Diwaniya, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Saad Maan di Twitter semalam.

Polis cuba menjadi orang tengah antara Ali- yang menetap di Turki dan melawat Iraq- dan saudara maranya bagi “menyelesaikan kemelut keluarga dalam cara yang baik”, kata Maan.

Rakaman perbualan tidak dapat disahihkan antara Ali dan keluarganya yang tersebar menunjukkan yang dia tidak gembira dengan keputusan Ali tinggal berseorangan di Turki.

Maan berkata selepas pertemuan pertama polis dengan keluarga itu, “mereka terkejut keesokan harinya dengan berita dia dibunuh ayahnya sendiri, seperti menurut pengakuan”.

Dia tidak memberikan butiran lanjut kemelut keluarga itu.

Ali kerap memuatnaik video kehidupan hariannya di YouTube, dengan tunangnya sering kali muncul di video itu.

Sumber polis yang bercakap dengan AFP atas dasar kerahsiaan mengesahkan yang kemelut keluarga itu sudah bermula sejak 2015.

Ali melawat Turki bersama keluarganya pada 2017, tetapi enggan mengikut mereka pulang dan memilih untuk menetap di Turki, kata sumber polis lagi.

Kematiannnya mencetuskan kemarahan penduduk Iraq di media sosial, yang mahu melakukan protes di Baghdad pada Ahad menuntut keadilan dalam kes itu. – AFP, 4 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen