PEMIMPIN junta Burkina Faso pada Jumaat berkata hubungan diplomatik dengan Perancis yang diminta mengeluarkan tentera dari negara itu tidak terputus dan menafikan kehadiran tentera upahan Rusia di negara itu.
Perancis mempunyai penempatan pasukan khas di Ouagadougou yang mencetuskan ketegangan keselamatan ketika sentiment anti Perancis mula meluas, dengan Paris memanggil balik dutanya ke Burkina kerana tuntutan junta untuk mengeluarkan tenteranya.
“Tidak ada penamatan perjanjian diplomatic,” kata Kapten Ibrahim Traore kepada wartawan menerusi satu wawancara televisyen.
“Tidak ada penamatan hubungan diplomatik atau kebencian terhadap negara tertentu,” tambahnya lagi.
Traore turut menafikan yang tentera upahan Kumpulan Wagner Rusia berada di Burkina Faso walaupun junta sedang memperkukuh hubungan dengan Moscow.
“Kita dengar ramai orang kata yang Wagner berada di Ouagadougou….(khabar angin) ini direka supaya semua orang menjauhkan diri daripada kita,” katanya.
Paris bulan lepas mengesahkan yang pasukan tenteranya akan meninggalkan Burkina dalam tempoh sebulan.
Ia marah dengan kegagalan kerajaan tentera mengekang kebangkitan pelampau Islam yang berlaku sejak 2015 yang menyebabkan dua rampasan kuasa di Burkina Faso tahun lepas.
Keganasan kumpulan pelampau dikaitkan dengan Al-Qaeda dan Kumpulan Negara Islam sudah membunuh ribuan orang dan memaksa hampir dua juta orang menjadi pelarian. – AFP, 4 Februari, 2023.
Komen