Chile isytihar darurat bencana alam


CHILE mengisytiharkan darurat di beberapa wilayah selatannya selepas gelombang haba menyebabkan kebakaran hutan yang setakat ini sudah mengorbankan tujuh orang, kata pihak berkuasa pada Jumaat.

Lebih 100 rumah dan 29,000 hektar hutan musnah selepas kebakaran bermula pada Rabu.

Dua anggota bomba yang memadamkan api menggunakan helikopter antara yang terbunuh, kata Menteri Pertanian Esteban Valenzuela.

“Saya sangat sedih dengan nahas helikopter terhempas yang membunuh juruterbang dan kakitangan yang bekerja memadamkan api,” katanya, menambah nahas berlaku di La Araucania.

Kematian terbaru itu selepas empat orang awam dan seorang anggota bomba dilaporkan maut.

Kerajaan mengisytiharkan darurat di wilayah Nuble dan Biobio, tetapi kebakaran turut menjejaskan wilayah Maule dan La Araucania.

Presiden Gabriel Boric menangguhkan pelan melawat kawasan bencana itu yang melaporkan 178 tapak kebakaran setakat ini.

Daripada jumlah itu, 39 kebakaran tidak dapat dikawal.

Menteri Dalam Negeri Carolina Toha berkata empat orang awam maut di Biobio.

Perkhidmatan kecemasan dan bencana alam Senapred dan perbadanan hutan nasional Conaf berkata sembilan orang lagi cedera termasuk lapan anggota bomba.

Seramai 2,300 anggota bomba dan 75 pesawat dikerahkan untuk mengawal kebakaran.

Pengisytiharan darurat membolehkan sumber tambahan disalurkan untuk mengawal bencana ke kawasan itu. – AFP, 4 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen