China siasat laporan belon pengintip di ruang udara AS


Beijing berharap kedua-dua negara akan menangani perkara itu dengan tenang dan tidak membuat sebarang spekulasi. – Gambar EPA, 4 Februari 2023.

KERAJAAN China sedang menyiasat laporan mengenai belon pengintip negara itu dikesan oleh tentera Amerika syarikat (AS) berada di ruang udara di negeri Montana, menurut seorang jurucakap pada Jumaat.

“Kami sedang mengumpul dan menyemak fakta,” kata jurucakap Pejabat Luar Mao Ning kepada media di Beijing, lapor Agensi Akhbar Jerman dpa.

Beliau berharap kedua-dua pihak akan menangani perkara itu dengan tenang dan membuat sebarang spekulasi terhadap isu itu sebelum mengetahui dengan jelas apa yang berlaku sama sekali tidak membantu.

Pada Khamis Pentagon memaklumkan pihaknya sedang menjejaki trajektori belon itu di wilayah AS.

Jabatan Pertahanan AS berkata ia sedang mempertimbangkan untuk menembak jatuh belon itu namun memutuskan tidak berbuat demikian kerana bimbang serpihannya akan membahayakan orang awam.

Belon itu berlegar di ruang udara Montana, lokasi 150 peluru berpandu balistik bersenjatakan kepala peledak nuklear antara benua disimpan di pangkalan tentera utara, menurut akhbar Wall Street Journal.

Insiden itu berlaku sebelum Setiausaha Negara AS Antony Blinken merancang ke Beijing pada Ahad. Ia merupakan lawatan pertama seumpama itu sejak Oktober 2018.

Hubungan antara Beijing dan Washington tegang.

Insiden sama pernah berlaku sebelum ini, namun kali ini belon itu dilihat kekal berada di ruang udara  wilayah AS lebih lama berbanding biasa.

Menurut Pentagon belon itu tidak mendatangkan bahaya kepada pesawat. AS sedang berhubung dengan pihak China berhubung kejadian itu. – Bernama, 4 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen