AMERIKA Syarikat memberi amaran pada Isnin bahawa negara itu bersedia untuk bertindak di Syria jika perlu bagi menghentikan serangan kimia dan “penderitaan tanpa perikemanusiaan”, sambil menuntut genjatan senjata 30 hari di Timur Ghouta.
Duta AS Nikki Haley memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa genjatan senjata yang diluluskan pada dua minggu lepas “telah gagal” sekaligus membentangkan satu draf resolusi baru menuntut kedamaian sementara 30 hari di kawasan yang dikuasai pemberontak dan di Damascus.
Duta AS itu turut mengingatkan bahawa Presiden Donald Trump pernah mengarahkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan udara Syria pada April tahun lepas sebagai tindak balas serangan gas sarin yang didakwa didalangi tentera Presiden Bashar al-Assad.
“Kami juga memberi amaran kepada mana-mana negara yang berhasrat melaksanakan matlamatnya menerusi serangan kimia dan penderitaan tanpa perikemanusiaan, terutama rejim Syria yang kejam: Amerika sentiasa bersedia untuk bertindak jika perlu,” katanya.
“Ia bukanlah cara yang kami suka, tetapi ia adalah cara yang kami pernah lakukan sebelum ini, dan kami tidak teragak-agak untuk melakukannya semula,” kata Haley.
“Apabila masyarakat antarabangsa secara berterusan gagal bertindak, ada pada waktu ketikanya Amerika Syarikat terpaksa mengambil tindakan sendiri.” – AFP, 13 Mac, 2018.
Komen