Menteri Sarawak bidas DAP bantah projek tiang bendera RM30 juta


Desmond Davidson

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Hamzah berkata bantahan DAP ke atas cadangan pembinaan tiang bendera tertinggi di Malaysia di di Petra Jaya bukanlah perkara baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari 2023.

BANTAHAN DAP ke atas cadangan pembinaan tiang bendera tertinggi di Malaysia di utara tebing Sungai Sarawak di Petra Jaya dengan kos dikatakan berjumlah RM30 juta bukanlah perkara baharu, kata Abdul Karim Hamzah.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu berkata DAP juga sebelum ini pernah lantang membantah pembinaan Air Pancut Berirama Darul Hana di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) bernilai RM31.89 tiga tahun lalu.

“Apa saja yang kami buat serba tak kena pada DAP,” katanya, mengulas kritikan pembangkang terhadap projek pembinaan tiang bendera tersebut.

DAP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berada dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, tetapi di peringkat negeri DAP adalah pembangkang.

Bantahan terhadap projek pembinaan Air Pancut Berirama Darul Hana yang dibina di tebing Sungai Sarawak disuarakan Adun Pending Violet Yong dalam sidang DUN pada 2018 dan 2019. 

Yong mendakwa projek tersebut bukan hanya berkenaan akauntabiliti dan integriti, tetapi kontraktor yang terlibat tidak memetuhi syarat kontrak.

Projek itu kemudian diaudit Jabatan Audit Negara dan Yong juga menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kos pembinaan air pancut yang disifatkan sebagai termahal di Malaysia. Siasatan SPRM bagaimanapun dihentikan pada 2020.

Air Pancut Berirama Darul Hana kini menjdi tarikan utama di Kuching.

Mengulas lanjut mengenai projek tiang bendera tertinggi di Malaysia itu, Karim berkata kritikan berterusan Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii menunjukkan pembangkang sebenarnya tiada isu untuk dibangkitkan.

Tiang bendera yang akan didirikan berdekatan bangunan DUN Sarawak itu dilapor berketinggian 99 meter, empat meter lebih tinggi berbanding tiang bendera tertinggi negara pada masa ini, yang terletak di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.

Menurut Karim, jika projek tersebut dicadangkan oleh kerajaan negeri, maka kos pembinaan akan diperolehi daripada dana lebihan.

“Apabila ada lebihan, jadi sepatutnya tiada masalah untuk kita belanjakan bagi tujuan mengindahkan bandar dan menambah baik prasarana.

“Tidak semua wang harus digunakan untuk bangunan sekolah, hospital atau lebuh raya,” katanya mengulas kritikan DAP Sarawak.

Sabtu lepas, Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan berkata pembinaan projek tiang bendera tersebut sebenarnya akan dibiayai sektor swasta sebagai sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena ulang tahun ke-60 Sarawak merdeka dalam Malaysia. 

“Projek itu termasuk pembangunan tapak yang ditetapkan serta kawasan sekitarnya, tidak mempunyai kaitan dengan isu MA63.

“Ia akan menjadi sebahagian daripada infrastruktur pelancongan di Kuching serta menunjukkan kesetiaan kepada Sarawak. 

“Semoga ia menjadi inspirasi kepada semua rakyat Sarawak untuk berkhidmat kepada Sarawak,” katanya.

Nama syarikat yang terlibat bagaimanapun tidak didedahkan. Karim baru-baru ini dilapor berkata syarikat terbabit antara yang terbesar di Sarawak.

Tidak percaya kepada penjelasan itu, Yii berkata projek tersebut dibiayai kerajaan negeri, dan menegaskan setiap rakyat Sarawak berhak mempersoalkan perbelanjaan ke atas mana-mana projek dan infrastruktur di negeri itu. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatan kepentingan awam serta sejumlah besar dana awam.

“Mereka (kerajaan negeri) tidak boleh membina apa sahaja yang mereka mahu walaupun terdapat dana lebihan.

“Ia mesti diteliti, dan kerajaan Sarawak mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan wang dibelanjakan secara berhemah dan tidak membazir. Paling penting sekali ia mesti memberi manfaat kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Menurut Yii lagi, projek tiang bendera itu juga mencetus mengenai keutamaan ketika ini.

“Persoalan yang perlu dibangkitkan ialah pertama sekali mengapa ia perlu dibina, sedangkan banyak lagi keperluan dan isu lain yang perlu diberi perhatian di Sarawak, terutamanya yang memberi kesan langsung kepada rakyat biasa.” – 4 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen