SERAMAI 11 ahli kumpulan pembangkang Iran yang dituduh menyerang masjid dan harta awam dijatuhkan hukuman penjara sehingga enam tahun, kata agensi berita negara itu, IRNA hari ini.
Hassan Heidari, timbalan pendakwa jeneral wilayah Khorasan Razavi di timur laut Iran, berkata 11 defendan, termasuk wanita, juga disabitkan dengan “propaganda terhadap sistem republik Islam”.
Beberapa orang daripada mereka didapati bersalah kerana membakar dua masjid di bandar Masshad, kata IRNA, sambil menambah keputusan itu tertakluk kepada rayuan.
Menurut pihak berkuasa Iran, tertuduh merupakan sebahagian daripada kumpulan pembangkang yang dikenali sebagai “Restart” ditubuhkan oleh Mohammad Hosseini, bekas pengacara rancangan televisyen tempatan yang dibuang negeri.
Dia didakwa menggunakan media sosial untuk menggesa warga Iran menyerang masjid, bank dan pusat yang dikendalikan oleh Basij, milita yang dikaitkan dengan Pengawal Revolusi.
Pada Oktober, beberapa bank di Teheran utara menjadi sasaran dalam serangan waktu malam.
Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam ketegangan yang melanda pekan dan bandar di Iran antara 28 Disember hingga 1 Januari. – AFP, 13 Mac, 2018.
Komen