Siasat juga sewa jet Anwar, kata orang Muhyiddin


Marzuki Mohamad, bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri kelapan Muhyiddin Yassin, menggesa SPRM siasat parti kerajaan yang disyakinya berbelanja ratusan juta ringgit dalam kempen PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari 2023.

AGENSI antirasuah perlu bertindak adil dengan menyiasat parti kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang turut berbelanja besar dalam kempen PRU15, kata orang kanan Muhyiddin Yassin.

Bekas ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri kelapan itu, Marzuki Mohamad berkata siasatan yang kini menyebabkan akaun Bersatu dibekukan tidak adil.

“Tidak adil jika Bersatu sahaja disiasat kerana dituduh berbelanja besar. PKR dan DAP juga berbelanja besar.

“Oh ya. Elok siasat juga dana pilihan raya BN (Barisan Nasional). Ingat, menteri-menteri BN juga ada dalam kerajaan PN (Perikatan Nasional)dan perdana menteri selepas PN juga dari BN.

“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Barulah adil,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara lain perlu menyiasat sumber kewangan DAP dan PKR untuk membiayai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau percaya kos bahan kempen itu mencecah kos ratusan juta ringgit mempersoalkan sekiranya ia dibiaya dengan sumbangan ahli perniagaan tertentu.

“Ini tidak termasuk bayaran sewa jet dan helikopter untuk kegunaan Anwar sendiri ketika berkempen. Juga kos-kos lain yang melibatkan kerja-kerja jentera parti.

“Dari mana sumber ini diperolehi? PKR dan DAP adalah kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Adakah PKR dan DAP tidak menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana ahli perniagaan atau tauke-tauke yang berurusan dengan ketiga-tiga kerajaan negeri ini?” soalnya.

PKR dan DAP menyatakan kesediaan untuk mendedahkan penyata kewangan parti masing-masing berhubung perbelanjaan sewaktu kempen PRU15.

Mengulas siasatan yang berjalan, Muhyiddin pula semalam mengumumkan parti itu akan merayu agar membatalkan pembekuan akaun partinya.

Selain Bersatu, PAS juga menjadi fokus siasatan SPRM berhubung dakwaan pemberian rasuah kepada pengundi di Terengganu dalam PRU15.

Agensi itu dilaporkan mengenalpasi kira-kira 90 pengundi yang didakwa menerima wang tunai untuk mengundi PAS dalam pilihan raya itu.

PAS melalui gabungan PN berjaya menyapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu, Kelantan dan Perlis dalam pilihan raya 19 November lalu.

Dakwaan tersebut disangkal PAS, termasuk oleh presidennya Abdul Hadi Awang yang berkata pemberian wang tunai hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam. – 3 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen