Pengebom bunuh diri masjid Pakistan berpakaian seragam polis


Ratusan anggota polis sedang menunaikan solat asar di masjid di Pakistan ketika letupan berlaku yang menyebabkan tembok runtuh dan menghempap pegawai. – Gambar AFP, 3 Februari 2023.

PENGEBOM bunuh diri di sebuah masjid di Pakistan dikenal pasti berpakaian seragam polis ketika melancarkan serangan terbabit.

Perkembangan mengenai tragedi yang mengorbankan 84 nyawa itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Khyber Pakhtunkhwa, Moazzam Jah Ansari, pada Khamis.

Katanya, ia adalah hasil padanan kepala suspek yang dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, yang menunjukkan suspek mungkin membawa antara 10 hingga 12kg bahan letupan.

“Anggota yang bertugas tidak memeriksanya kerana suspek memakai seragam polis… Ia adalah kesilapan pihak keselamatan,” katanya sambil menjelaskan pengebom terbabit tidak hanya merancang serangan di barat laut Peshawar, Isnin lalu.

Ratusan anggota polis sedang menunaikan solat asar di masjid terbabit ketika letupan berlaku yang menyebabkan tembok runtuh dan menghempap pegawai.

Pihak berkuasa sedang menyiasat aspek pelanggaran keselamatan yang mungkin berlaku di kawasan dengan kawalan paling ketat di bandar itu, yang menempatkan biro risikan dan memerangi keganasan serta bersebelahan dengan sekretariat wilayah.

Ia adalah serangan paling dahsyat di Pakistan sejak beberapa tahun lalu, selain paling teruk sejak keganasan melonjak semula di rantau itu selepas Taliban mengambilalih kuasa di Kabul, Afghanistan pada 2021. – AFP, 3 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen