15 kanak-kanak terkorban disuntik vaksin tercemar di Sudan


Wabak campak sudah membunuh lebih 70 kanak-kanak di Sudan dan tragedi vaksin tercemar ini memburukkan keadaan. – Gambar AFP, 3 Jun, 2017.

LIMA belas orang kanak-kanak terkorban di Selatan Sudan selepas disuntik vaksin campak tercemar yang tidak diletakkan dalam peti sejuk dengan baik, dan disuntik menggunakan jarum yang sama selama empat hari.

Selain itu dua orang kanak-kanak berusia 12 dan 13 tahun dilantik untuk menyuntik vaksin itu kata Menteri Kesihatan Riek Gai Kok.

Siasatan mendapati pegawai bertugas gagal mengikuti garis panduan imunisasi dalam kempen empat hari untuk memvaksin sekitar 300 orang di kawasan selatan negara itu, Kapoeta pada Mei lepas, kata Kok.

“Pasukan yang memvaksin kanak-kanak dalam tragedi ngeri itu tidak berkelulusan serta tidak dilatih untuk vaksinisasi,” tambahnya.

Kempen itu dilakukan ketika wabak campak tercetus membunuh kira-kira 70 orang kanak-kanak tahun ini, dan tragedi terbaru melanda negara paling baru di dunia yang dicengkam perang saudara sejak tiga tahun lepas- memberi kesan kepada kemampuannya menyediakan penjagaan kesihatan yang baik kepada rakyat.

Negara itu juga seringkali dilanda wabak taun.

“Sebatang jarum suntikan digunakan untuk menyuntik vaksin beberapa kali selama empat hari kempen itu berbanding sepatutnya satu jarum untuk satu suntikan,” kata Kok lagi, merujuk kepada peralatan yang digunakan untuk mencampurkan vaksin itu sebelum menyentuknya menggunakan jarum suntikan yang lain.

“Penggunaan berulang kali jarum suntikan menyebabkan ia tercemar dan memberi kesan kepada kanak-kanak.

Pegawai kesihatan tempatan juga gagal mengikuti protokol sejuk beku vaksin.

“Vaksin itu disimpan dalam bangunan yang tidak mempunyai kemudahan sejuk beku selama empat hari,” katanya.

Dia tidak mengulas lanjut mengenai pelantikan kanak-kanak untuk melakukan vaksinisasi itu, hanya berkata: “Mengambil kanak-kanak berusia dua belas dan tiga belas tahun tidak boleh diterima dan kami sedang menyiasat apa sebenarnya yang berlaku.”

Siasatan itu, disokong Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) dan agensi kanak-kanak PBB, UNICEF, menyatakan yang kanak-kanak di perkampungan pedalaman Nachodepele meninggal kerana “disuntik vaksin tercemar”.

32 orang kanak-kanak lagi mengalami simptom demam, muntah dan cirit-birit tetapi sedang pulih.

Menurut WHO, vaksin campak wujud dalam bentuk kering-beku dan perlu dicampurkan dengan agen pencair sebelum disuntik. Vaksin itu juga disimpan dalam tempat gelap dengan suhu 2 sehingga 8 darjah celsius.

“Tahun ini sahaja 70 orang kanak-kanak meninggal kerana campak… vaksin adalah selamat sekiranya garis panduan diikuti,” kata Pengarah WHO Negara Abdulmumin Usman.

Hampir dua juta orang melarikan diri dari Selatan Sudan, yang juga dicengkam kebuluran kerana konflik. Beratus ribu lagi menjadi mangsa korban perang.  – AFP, 3 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen