Mahkamah Sepanyol tolak rayuan waris Sultan Sulu, kata Azalina


Ravin Palanisamy

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan perlembagaan luar biasa difailkan sekumpulan individu yang mendakwa mereka 'waris Sultan Sulu'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari 2023.

MAHKAMAH Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan perlembagaan luar biasa difailkan sekumpulan individu yang mendakwa mereka ‘waris Sultan Sulu’, bagi mencabar pembatalan pelantikan Gondoza Stampa sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian antara Malaysia dan Sulu, kata Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan baru sahaja menerima pengesahan rasmi berhubung rayuan tersebut.

“Pembatalan pelantikan Stampa (yang muktamad dan mengikat) turut disahkan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol.

“Justeru, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol sekali lagi mengesahkan pendirian Malaysia,” katanya.

Pada 29 Jun 2021 Mahkamah Tinggi Madrid (HCJM) membatalkan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara, dan kesemua tindakan serta  keputusan yang dibuat oleh beliau terbatal.

HCJM merupakan mahkamah Sepanyol yang pada mulanya melantik Stampa pada 2019 (tanpa mendengar Malaysia berikutan perkhidmatan yang tidak sah).

“Hasil daripada pembatalan pelantikan Stampa di Sepanyol, beliau tidak lagi mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai penimbang tara dan harus segera menamatkan prosiding timbang tara yang dikatakan,” katanya. 

Tambah beliau, keputusan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol ini membuktikan dasar kerajaan untuk bersungguh-sungguh mempertahan Malaysia di setiap mahkamah dan forum, menggunakan semua kuasa, hak dan sumber bagi memastikan kepentingan negara, kekebalan kedaulatan dilindungi setiap masa. – 2 Februari 2023. 

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen