SPRM kenal pasti 90 penerima 'sedekah' PRU15 di Terengganu


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti kira-kira 90 individu yang didakwa menerima tunai untuk mengundi PAS di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, lapor Malaysiakini.

Portal berita itu yang memetik sumber SPRM berkata, ia sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap video tular yang menunjukkan orang ramai menerima bayaran daripada PAS untuk mengundi.

Sumber itu berkata, kira-kira separuh daripada 90 penerima dikesan oleh SPRM dan memanggil mereka untuk direkodkan kenyataan masing-masing.

“Lelaki dalam video yang memberikan wang tunai kepada pengundi itu juga dipanggil untuk disoal siasat.

“Sekarang SPRM sedang berusaha untuk memanggil seberapa ramai saksi bagi membantu siasatan. Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 90 penerima dikenal pasti (telah menerima wang tunai).

“Ada sedikit kesukaran untuk mencari mereka kerana tidak semua mereka menetap di Terengganu. Ramai yang terlibat adalah pengundi luar,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata SPRM berjaya mengenal pasti penerima wang tunai berdasarkan dokumen yang dirampas semasa siasatan.

Ia termasuk dokumen yang perlu ditandatangani oleh penerima apabila ingin mengambil wang, selain perlu mengangkat sumpah.

SPRM dijangka menyelesaikan siasatan kes itu dalam masa kira-kira dua minggu, kata Malaysiakini.

Dakwaan muncul di media sosial kononnya PAS memberi wang kepada pengundi.

Parti itu dan pakatan politiknya Perikatan Nasional berjaya menyapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu, Kelantan dan Perlis.

Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor menafikan membayar wang kepada pengundi. – 2 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen