Kanada lulus usul terima masuk 10,000 pelarian Uyghur


China mempertahankan kewujudan kem Uyghur di Xinjiang, dengan berkata ia penting untuk memerangi keganasan dan menyediakan latihan vokasional kepada golongan minoriti itu. – Gambar EPA, 2 Februari, 2023.

SIDANG Parlimen Kanada sebulat suara meluluskan usul untuk menerima 10,000 pelarian Uyghur yang melarikan diri dari China dan kini berdepan tekanan supaya kembali ke negara asal.

Keputusan itu dibuat selepas langkah mula diambil ahli Parlimen Kanada sejak Februari 2021 bagi melabelkan layanan Beijing terhadap Uyghur dan Muslim Turkiye yang lain di wilayah Barat Laut Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Usul itu mencadangkan penempatan semula 10,000 Uyghur di Kanada dilaksanakan dalam tempoh dua tahun, bermula 2024.

Menurut ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan, Sameer Zuberi, sekurang-kurangnya 1,600 ditahan di negara lain atas arahan China atau dihantar pulang secara paksa.

Sameer yang membawa usul berkenaan berkata Perdana Menteri Justin Trudeau dan Kabinetnya yang mengundi bagi menyokong usul itu, jelas menandakan niat kerajaan untuk menjayakan usaha terbabit walaupun ia tidak terikat.

“Ia isyarat yang jelas kami menolak pencabulan hak manusia terhadap orang Uyghur.

“Apa yang berlaku kepada Uyghur jelas tidak boleh diterima,” katanya pada sidang media.

Kumpulan hak asasi manusia percaya sekurang-kurangnya sejuta masyarakat Uyghur dan minoriti Islam lain kebanyakannya dipenjarakan di kem tahanan di rantau itu.

China juga dituduh memandulkan wanita secara paksa selain dikerahkan bekerja.

Susulan itu, puluhan ribu kaum berkenaan bertindak melarikan diri. – AFP, 2 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen