PIHAK berkuasa tentera Myanmar mengumumkan lanjutan darurat enam bulan lagi semalam, bermakna pilihan raya ditangguhkan dengan juta berjanji mengadakannya pada Ogos.
Junta pada masa ini bergelut melawan pejuang anti rampasan kuasa di seluruh negara.
Negara Asia Tenggara itu bergolak sejak rampasan kuasa dilakukan tentera pada 2021, dan disusuli dengan kekerasan dilakukan terhadap pihak yang tidak bersetuju dengan tentera.
Ketua junta Min Aung Hlaing berkata lebih satu pertiga daripada kawasan di negara itu tidak dikawal sepenuhnya oleh tentera, dalam komennya yang dilaporkan media rasmi.
Kenyataan itu dibuat pada ulang tahun kedua rampasan kuasa, di mana Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara bersetuju melanjutkan lagi darurat yang diisytiharkan selepas tentera menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi.
Darurat akan dilanjutkan enam bulan lagi bermula 1 Februari, kata pemangku presiden Myint Swe.
Lanjutan tempoh itu akan melewatkan lagi tarikh pilihan raya yang perlu diadakan, menurut perlembagaan negara itu.
Tentera mentadbir Myanmar selama berdekad-dekad selepas merdeka dari Britain pada 1948, dan mendominasi ekonomi dan politik negara, walaupun sebelum rampasan kuasa itu.
Walaupun Min Aung Hlaing berulang kali berjanji untuk mengadakan pilihan raya di seluruh negara, beliau tegas mengatakan dengan jelas tentera akan kekal dengan peranan penting.
Tentera akan selamanya menjadi penjaga kepentingan negara dan rakyat, tanpa mengira kerajaan mana pun yang mentadbir, katanya. – AFP, 2 Februari, 2023.
Komen