FBI tidak temui dokumen sulit di rumah pantai Biden


FBI tidak temui dokumen sulit di rumah tepi pantai Presiden AS Joe Biden di Rehoboth, Delaware ketika pencarian dilakukan semalam. – Gambar fail AFP, 2 Februari, 2023.

TIADA dokumen sulit ditemui di rumah tepi pantai Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden ketika pencarian dilakukan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) semalam.

Menurut kenyataan dikeluarkan peguamnya, pencarian di Rehoboth, Delaware itu dilakukan dengan mendapat kerjasama penuh daripada presiden.

Pencarian selama empat jam itu berkaitan siasatan berhubung pengendalian dokumen sulit kerajaan AS.

Setakat ini, tiada kenyataan dikeluarkan oleh FBI dan pencarian itu dilakukan secara sukarela.

Peguan Biden, Bob Bauer berkata pencarian berkenaan dilakukan tanpa diwar-warkan kepada orang awam atas faktor keselamatan operasi dan integriti.

Susulan pencarian itu Bauer berkata, tiada dokumen yang diklasifikasikan sebagai sulit ditemui.

Beberapa nota tulisan tangan Biden bertarikh semasa beliau memegang jawatan naib presiden antara 2009 dan 2017 diambil untuk siasatan lanjut, kata Bauer memetik laporan BBC.

Pencarian semalam adalah yang terbaru dalam beberapa siri siasatan selepas dokumen sulit ditemui di Pusat Penn Biden di Washington DC pada November lalu.

Penemuan itu tidak didedahkan pada umum ketika itu.

Beberapa dokumen sulit lain kemudian ditemui di salah satu rumah Biden di Wilmington, Delaware dalam pencarian yang dilakukan pada Disember dan Januari.

Jumlah sebenar dokumen sulit yang ditemui tidak didedahkan, namun difahamkan puluhan dokumen itu ditemui dalam pencarian pada Januari saja. – AFP, 2 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen