Naik terlalu cepat, Adam Adli kini lebih hati-hati


Ravin Palanisamy

Pada PRU15 lalu Adam Adli bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya dan memenangi kerusi itu dengan majoriti lebih 8,000 undi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 Februari, 2023.

PERJALANAN politik Adam Adli Abd Halim naik begitu mendadak, daripada aktivis yang diangkat sebagai ketua pemuda PKR, dipilih menjadi ahli Parlimen dan kini dilantik sebagai timbalan menteri belia dan sukan.

Akui perjalanannya begitu singkat untuk mencapai kedudukan sekarang namun kata wakil rakyat baharu yang berusia 34 tahun itu, beliau tetap berdepan kesukaran dalam tempoh tersebut.

“Saya rasa daripada sudut pandangan orang lain, perjalanan saya itu agak cepat, jika hanya dilihat pada satu tahun itu sahaja.

“Tapi mungkin jika kita toleh sedikit ke belakang, sebelum ini saya juga terlibat dengan aktiviti sosial dan politik.

“Itu mungkin bagi saya cukup pengalaman untuk jalankan tugas dan tanggungjawab yang diberi kepada saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketika pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris, aktivis ini pernah didakwa atas tuduhan menghasut ketika berucap pada sebuah forum selepas pilihan raya tahun 2013.

Pada 2014, beliau dijatuhkan hukuman penjara setahun setelah didapati bersalah namun memenangi proses rayuan yang membebaskannya pada 2018.

Pada 2021, Adam menyertai PKR dan tahun berikutnya dipilih sebagai ketua pemuda pada pemilihan parti tersebut.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu Adam bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya dan memenangi kerusi itu dengan majoriti lebih 8,000 undi.

Bapa kepada dua anak ini kemudiannya dilantik sebagai timbalan menteri belia dan sukan di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim.

Walaupun kemunculannya dalam politik agak mendadak, Adam berkata beliau tidak mahu terbuai.

“Saya tidak nafikan memang agak drastik (karier politik) tetapi saya perlu berhati-hati agar tidak tersandung.

“Ada gangguan. Tidak semuanya lancar tetapi sekarang saya lebih berhati-hati, lebih bersedia,” katanya.

Adam Adli berkata menjadi sebahagian daripada kerajaan sekarang, beliau perlu mengendalikan semua perkara dengan lebih profesional.

“Ada cara untuk tangani isu, bukan seperti cara kami tanganinya sebelum ini.

“Kita pelu kreatif untuk mencari pendekatan yang sesuai dengan tanggungjawab kita sebagai sebahagian daripada kerajaan,” katanya.

Ketua Pemuda PKR itu bagaimanapun menerima hakikat bakal ada kritikan tidak kira bagaimana mereka menangani sebarang isu memandangkan mereka kini adalah kerajaan.

Beliau bagaimanapun, terbuka terhadap sebarang kritikan.

“Kami sentiasa boleh menjawab isu tetapi akan ada kritikan kerana kita sekarang kerajaan,” katanya.

Kata Adam Adli lagi, beliau harus cepat belajar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pantas yang berlaku dalam hidupnya.

“Untuk sesuaikan diri, sama ada suka atau tidak kita perlu belajar dengan cepat dan kerap bertanya kepada orang lain.

“Saya tidak boleh diamkan diri dan mesti bersedia menerima ilmu daripada orang yang berpengalaman. Itu kuncinya.

“Saya datang ke sini untuk belajar malah sebagai ahli Parlimen dan sekarang sebagai timbalan menteri. Jadi untuk menyesuaikan diri, saya mesti bersedia untuk menyerap maklumat sebanyak mungkin,” katanya. – 2 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen