Baiki indeks CPI negara, C4 beritahu Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Kata C4, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim perlu memperkenalkan beberapa pembaharuan bagi membaiki skor indeks CPI negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2023.

MALAYSIA perlu menambah baik Indeks Persepsi Rasuah (CPI) susulan skor kajian global semalam yang mendedahkan kerangka pentadbiran negara yang lemah, kata Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Badan itu menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperkenalkan beberapa pembaharuan bagi membaiki skor indeks CPI negara.

“C4 amat terganggu dengan skor 47 mata buat Malaysia, berada di tempat ke-61 bersama negara seperti China, Cuba, Armenia dan Jordan; jatuh enam mata dalam tempoh tiga hingga empat tahun (2019-2022).

“Keputusan yang merosakkan itu meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang terdesak untuk bangkit mengatasi kemelesetan sosio-politik dan ekonomi yang semakin teruk akibat rasuah yang berleluasa,” katanya.

Semalam Transparency Internasional Malaysia (TI-M) dilaporkan berkata Malaysia perlu melakukan lebih lagi untuk membaiki piawaian antarabangsa berkait rasuah selepas CPI itu jatuh satu mata berbanding tahun lalu.

Presidennya Muhammad Mohan berkata salah satu sebab penarafan jatuh adalah pelaksanaan beberapa pakej rangsangan semasa pandemik Covid-19.

Tahun lalu, skor CPI Malaysia merosot kepada 47 mata di mana skala 0 menunjukkan paling rasuah dan 100 paling bersih.

TI-M dalam laporannya menyebut kemerosotan ini ketara secara statistik menunjukkan negara menghala ke arah yang salah dalam usaha memerangi rasuah, menyokong hak asasi manusia dan demokrasi dalam sektor awam.

Antara syor yang dicadangkan oleh C4 adalah menyemak dan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sedia ada, reformasi terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pemisahan Pejabat Peguam Negara dengan Pejabat Pendakwa Raya serta menggubal Akta Pembiayaan Dana Politik dan Akta Perolehan Kerajaan.

“Perlu diingat minggu lepas, perdana menteri mengisytiharkan rasuah adalah ancaman utama terhadap negara. Sekarang masanya untuk beliau bertindak sesuai dengan seruannya dengan melaksanakan reformasi yang sudah lama tertangguh.

“Penurunan yang berterusan dalam persepsi ini akan memberi kesan negatif terhadap ekonomi dari segi keyakinan pelabur ketika Malaysia memerlukan semua sokongan yang boleh diperolehi untuk memulihkan ekonomi,” tambahnya.

Melihat kepentingan perkara ini, C4 menuntut Putrajaya melihat mana-manau saha reformasi yang kritikal dan perlu khusunya sejajar dengan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

“C4 teguh memperjuangkan reformasi institusi yang mantap dan bersedia untuk memberikan bantuan bagi merealisasikan banyak inisiatif yang dibincangkan dan dicadangkan di bawah NACP.

“Rasuah menjejaskan institusi negara dan individu terbabit mesti ditahan sebelum tadbir urus Malaysia menjadi lebih teruk hingga tidak dapat dipulihkan,” katanya.

Pada November, C4 mendesak Anwar untuk mengutamakan ketelusan, akauntabiliti dan antirasuah dalam kerajaan baharunya.

Selain itu, pusat itu turut mengingatkan Anwar kerajaan perpaduannya akan berhadapan pelbagai cabaran namun Anwar tidak boleh mengetepikan tadbir urus baik dan memihak kepada kepentingan politik. – 1 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen