AS kenakan sekatan baharu terhadap pegawai Myanmar


Kerajaan Aung San Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021. – Gambar fail EPA, 1 Februari, 2023.

AMERIKA Syarikat (AS) mengenakan sekatan baharu pada Selasa yang menyasarkan pegawai Myanmar dan individu “yang bersekutu dengan tentera” menjelang dua tahun rampasan kuasa oleh junta.

Secara keseluruhannya, AS mengenakan sekatan terhadap enam individu dan tiga organisasi, termasuk pihak berkuasa pilihan raya negara itu, lapor agensi berita Anadolu memetik Jabatan Perbendaharaan dalam satu kenyataan.

Selain Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan, pentadbiran Joe Biden juga menyenarai hitam dua firma perlombongan awam-swasta dan pegawai eksekutif mereka, tiga pegawai tenaga Myanmar, dua pegawai dan bekas tentera serta anak perempuan seorang ahli perniagaan.

Pada 1 Februari 2021, kerajaan Aung San Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera selepas parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi memenangi pilihan raya kebangsaan pada November 2020.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini, sekurang-kurangnya 2,890 maut sejak junta memerintah negara itu. – Bernama, 1 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen