LEBIH 1,000 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak memerlukan pemindahan perubatan segera daripada Ghouta Timur, kata Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.
Kawasan yang dikuasai pemberontak di Ghouta kini dalam kepungan tentera kerajaan menjadikan bantuan perubatan dan makanan sukar disalurkan kepada lebih 400,000 penduduk.
“Terdapat lebih 1,000 orang yang memerlukan pemindahan perubatan. Kebanyakannya wanita dan kanak-kanak,” kata Linda Tom, dari pejabat kordinasi kemanusiaan PBB di Damsyik.
Menurut angka yang diberikan oleh OCHA pada Isnin, kesemua mereka termasuk lebih 77 kes yang perlu diberi keutamaan.
Sejak 18 Februari lalu, tentera Syria melancarkan serangan ke atas penempatan pemberontak di Ghouta Timur, yang merupakan kedudukan terakhir mereka di pinggir Damsyik.
OCHA berkata, 28 pusat perubatan di Ghouta Timur musnah dalam serangan berkenaan manakala 9 petugas perubatan terbunuh.
Pemberontak turut melancarkan serangan roket ke kawasan ibu negara itu.
Menurut OCHA, lima buah hospital dan 26 buah sekolah musnah di Damsyik.
Majlis Keselamatan PBB pada 24 Februari menggesa gencatan senjata di Ghouta Timur bagi membolehkan saluran bantuan serta pemindahan perubatan.
Sejak resolusi gencatan senjata diluluskan, dua konvoi bantuan kemanusiaan berjaya memasuki kawasan bergolak, namun tiada pemindahan perubatan dilakukan. – AFP, 12 Mac, 2018.
Komen