49 murid maut dalam nahas bot di Pakistan


Penyelam mengambil masa selama tiga hari untuk mengeluarkan mayat daripada tasik Empangan Tanda di barat laut Pakistan. – Gambar Facebook, 1 Februari, 2023.

SERAMAI 49 kanak-kanak maut apabila bot yang membawa penumpang melebihi muatan karam di bahagian barat laut Pakistan, menurut polis semalam selepas penyelam mengambil masa selama tiga hari untuk mengeluarkan mayat daripada tasik.

Semua kanak-kanak yang berusia antara 7 hingga 14 tahun itu adalah murid madrasah yang dibawa bagi lawatan sehari ke tasik Empangan Tanda, Ahad lalu.

“Air di empangan itu membeku disebabkan cuaca sejuk sekali gus menyukarkan misi menyelamat. Namun, hari ini penyelam berupaya menyelam lebih dalam untuk mencari mayat yang lain,” menurut Khateer Ahmad, pegawai kanan pasukan Rescue 1122, semalam.

Mayat seorang guru dan nakhoda bot berjaya ditemui dan ditarik keluar dari tasik itu, katanya, sambil menambah angka korban kini meningkat kepada 51.

Tasik Empangan Tanda terletak sekitar 5 kilometer dari sekolah madrasah itu - sebuah sekolah pesantren yang menawarkan pendidikan agama secara percuma - di Kohat di daerah Khyber Pakhtunkhawa.

Jurucakap polis, Fazal Naeem mengumumkan angka korban terkini semalam selepas selesai misi menyelamat itu. Ia disahkan oleh cabang media pasukan tentera.

“Bot itu terlalu sarat dengan penumpang; ia hanya dapat menampung sekitar 20 hingga 25 orang saja,” kata Naeem kepada AFP.

Beliau menambah, lima individu dapat diselamatkan termasuk empat murid dan seorang guru.

“Saya terperangkap di bawah bot itu,” kata Muhammad Mustafa, 11, apabila ditemui di hospital Ahad lalu.

“Saya terpaksa menanggalkan selendang dan baju sejuk saya untuk menyelamatkan diri.

“Air terlampau sejuk dan tubuh saya menjadi kebas. Saya fikir saya akan pengsan apabila seorang lelaki yang berpaut pada tiub kembung menyelamatkan saya,” katanya. – AFP, 1 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen