POLIS New South Wales (NSW) Australia menahan lebih 600 pesalah keganasan rumah tangga semasa operasi empat hari di seluruh negeri itu, lapor Agensi Anadolu.
Polis NSW dalam satu kenyataan mendakwa seramai 648 orang disabitkan kesalahan serius yang menyasarkan pesalah keganasan rumah tangga paling berbahaya di negeri itu.
Operasi Amarok One itu berlangsung dari 24 Januari hingga 27 Januari, menurut polis dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman sesawangnya.
“Selain kesalahan berkaitan keganasan rumah tangga, polis mengesan pelbagai lagi kesalahan serius termasuk memiliki senjata api dan senjata terlarang, memiliki dan mengedar dadah, dengan 1,153 pertuduhan dikenakan,” menurut polis.
Dalam operasi itu polis turut menemui dan merampas 19 senjata api dan 49 senjata terlarang serta pelbagai jenis dadah terlarang.
“Pasukan Polis NSW melaburkan sumber yang besar untuk bertindak balas terhadap keganasan rumah tangga dan keluarga; menjawab kira-kira 139,000 panggilan bantuan pada 2022 – dengan lebih 33,100 serangan sebenar dan 17 pembunuhan berkaitan rumah tangga.
“Kami akan terus memerangi persepsi bahawa keganasan rumah tangga adalah ‘urusan persendirian.’
“Ia membabitkan masyarakat, dan kita semua mempunyai peranan menghentikan kejadian kehilangan nyawa yang tidak masuk akal akibat jenayah ini,” kata Timbalan Pesuruhjaya Mal Lanyon. – Bernama, 1 Februari, 2023.
Komen