Jeju Air, firma Indonesia meterai MoU laluan baharu 


Jeju Air menandatangani memorandum persefahaman dengan PT Angkasa Pura 1 yang dikendalikan kerajaan untuk laluan baharu dari Incheon ke Bali dan Batam, Indonesia. – Gambar Facebook, 31 Januari, 2023.

JEJU Air Co., syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Korea Selatan pada Selasa berkata syarikat itu menjalin kerjasama dengan pengendali lapangan terbang Indonesia untuk laluan baharu yang menghubungkan ke negara Asia Tenggara itu.

Syarikat itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PT Angkasa Pura 1 (AP1) yang dikendalikan kerajaan untuk laluan baharu dari Incheon ke Bali dan Batam dan meneroka peluang perniagaan pelancongan di Indonesia, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan syarikat berkenaan.

Kerajaan Indonesia memiliki sepenuhnya AP1 yang mengendalikan 15 lapangan terbang di bahagian timur dan tengah negara itu.

Pada September, Jeju Air menandatangani MoU dengan daerah Sulawesi Utara untuk meneroka peluang menawarkan penerbangan ke Indonesia.

Kerajaan Indonesia menyasarkan untuk membangunkan kawasan pelancongan baharu untuk menarik pelancong dari seluruh dunia di bawah dasar “10 Bali Baharu”.

Jeju Air merancang untuk menyokong laluan yang semakin meningkat menggunakan pesawat B737-8, yang akan diterimanya mulai tahun depan hingga 2027. Ia menempah 40 pesawat B737-8 yang dahulunya dikenali sebagai B737 MAX pada harga 5 trilion won (AS$4 bilion).

Syarikat penerbangan tambang rendah itu pernah mengendalikan 45 pesawat B737-800NG yang disewa di 87 laluan termasuk enam laluan domestik, sebelum wabak Covid-19. Bilangan pesawat kini berkurangan kepada 37. – Bernama, 31 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen