Umno tidak beri sebab gantung keahlian, kata Hishammuddin 


Noel Achariam

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein berkata beliau menerima surat penggantungan itu hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2023.

AHLI Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein mempersoalkan tindakan Umno yang menggantungnya selepas menerima surat daripada parti itu hari ini. 

“Baru sahaja terima surat rasmi bertarikh semalam berhubung penggantungan keahlian Umno saya. Tiada sebab penggantungan dinyatakan,” katanya di Facebook.

Surat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan itu menyatakan pada 27 Januari, Majlis Tertinggi Umno memutuskan bahawa beliau akan digantung daripada parti kerana melanggar Fasal 20.9 perlembagaan Umno.

Ahmad berkata, penggantungan itu adalah selama enam tahun, bermula 27 Januari 2023, atau dua pusingan pemilihan Majlis Tertinggi Umno.

Fasal 20.9 perlembagaan parti menyatakan bahawa semua ahli Umno mesti mematuhi perlembagaan dan kod etika ahlinya.

Ini termasuk mematuhi arahan parti, menjaga nama baik Umno, dan menghormati keputusan parti.

Semalam, bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan Umno, tetapi dipecat tanpa proses sewajarnya.

“Saya tidak dijemput untuk perbicaraan tatatertib; Saya tidak diberitahu pun bahawa kes saya akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi.

“Pemecatan itu tidak adil sama sekali,” tambahnya.

Apabila ditanya sama ada beliau akan menerima penggantungan, beliau berkata itu tidak akan menjadikan keadaan lebih baik.

“Jika parti tidak mahukan kamu, maka lebih baik dipecat,” katanya.

Jumaat lalu, Umno memecat Khairy dan Noh Omar, kedua-duanya pemimpin veteran, kerana didakwa bekerja bertentangan dengan kepentingan parti.

Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan turut digantung selama enam tahun.

Turut digantung keahlian Umno adalah bekas ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Shariff dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang.– 31 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen