Penghormatan terakhir untuk Sri Ram


Noel Achariam

Orang ramai memberikan penghormatan terakhir kepada bekas hakim Mahkamah Persekutuan mendiang Gopal Sri Ram, yang meninggal dunia pada Ahad lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Januari, 2023.

UCAPAN takziah tidak putus-putus diterima keluarga mendiang Gopal Sri Ram, yang meninggal dunia pada Ahad lalu pada usia 79 tahun, dengan orang ramai datang memberikan penghormatan terakhir kepadanya hari ini.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu meninggalkan seorang balu, Chandra Sri Ram dan dua anaknya, yang masing-masing kini bertugas sebagai seorang peguam dan doktor.

Upacara penghormatan terakhir diadakan di tingkat tiga pusat Nirvana 2, di mana orang ramai beratur untuk memberikan penghormatan kepada Sri Ram.

Ahli keluarganya kelihatan duduk di sebelah keranda mendiang ketika orang ramai datang memberikan penghormatan.

Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo yang turut hadir berkata Sri Ram adalah peguam dan hakim yang bijak, mempunyai pengalaman mengagumkan dan pengetahuan undang-undang yang luar biasa.

Mendiang memberi banyak sumbangan kepada profesion perundangan dan biasanya mampu menyelesaikan sebarang masalah dengan pantas kerana pengetahuannya yang luas dalam bidang undang-undang.

“Sri Ram sangat berpengalaman dalam undang-undang perlembagaan. Beliau insan luar biasa dan kematiannya menyebabkan kehilangan besar kepada negara dan profesion perundangan,” katanya.

Gobind berkata sebagai rakan, Sri Ram selalu memberi bantuan dan khidmat nasihat perundangan jika diperlukan, malah mendiang adalah seorang mentor.

Antara yang turut hadir pada upacara itu adalah bekas menteri kesihatan S. Subramaniam, Jerald Gomez yang juga peguam kepada keluarga Pastor Raymond Koh, Presiden Majlis Peguam Karen Cheah, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Ketua Pesuruhjaya Suhakam Hishamudin Md Yunus dan peguam Siti Kasim. – 31 Januari, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen