KAWASAN di sekitar selatan Ethiopia ke utara Kenya dan Somalia dilanda kemarau paling buruk dalam tempoh empat dekad, hingga menyebabkan kira-kira 22 juta penduduk berisiko kebuluran.
Di kawasan terjejas, penduduk yang bekerja sebagai pengembala ternakan dan pertanian untuk menyara diri berdepan musim kemarau yang kelima berturut-turut sejak akhir 2020.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 12 juta di Ethiopia, 5.6 juta di Somalia dan 4.3 juta di Kenya berdepan masalah kekurangan makanan.
“Jumlah keseluruhan meningkat hampir dua kali ganda daripada 13 juta pada awal 2022.
“Di seluruh rantau ini, 1.7 juta terpaksa keluar dari rumah mereka kerana kekurangan air dan padang rumput,” menurut Program Makanan Sedunia PBB menerusi laporan 23 Januari.
Sejak 2016, lapan daripada 13 musim hujan menyaksikan kadar hujan berkurangan berbanding purata, menurut data Pusat Bencana Cuaca berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Kebuluran diisytiharkan di Somalia pada 2011 apabila 260,000 termasuk separuh daripadanya kanak-kanak bawah usia enam tahun, mati kelaparan kerana masyarakat antarabangsa gagal bertindak segera, menurut PBB.
Somalia negara paling teruk terkesan dengan kemarau menjejaskan kehidupan lebih separuh daripada 7.85 juta penduduknya.
Tanaman yang rosak akibat serangan belalang antara 2019 dan 2021 terpaksa dimusnahkan dan haiwan ternakan turut mengalami nasib sama.
Agensi kemanusiaan PBB menganggarkan pada November lebih 9.5 juta lembu mati akibat cuaca buruk.
Setakat ini, hanya 55.5% daripada bantuan AS$5.9 billion yang diminta PBB bagi menangani krisis kebuluran itu sudah disalurkan. – AFP, 31 Januari, 2023.
Komen